
MARKFIELD – Seramai 29 tokoh awam dari Malaysia dan rantau ini menamatkan pengajian bagi kohort kedua Professional Certificate in Contemporary Leadership (PCCL) di Markfield Institute of Higher Education (MIHE), baru-baru ini, sekali gus mencatat pencapaian bermakna dalam kerjasama pembangunan kepemimpinan pada peringkat antarabangsa.
Program pembangunan kepemimpinan yang berlangsung selama tiga bulan itu dianjurkan oleh Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) dengan kerjasama MIHE serta dilaksanakan bersama Institute of Management Sarawak (MASA).
Kumpulan peserta terdiri daripada penjawat awam kanan, eksekutif syarikat, ahli akademik selain pemimpin pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti.
Sebagai kemuncak program, peserta mengikuti modul residensi intensif selama seminggu di Markfield bermula 24 hingga 30 November lalu yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepemimpinan lanjutan, pembelajaran secara reflektif serta pendedahan di peringkat global.
Mereka turut diberi peluang mengikuti sesi akademik khas di University of Oxford, termasuk di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dan Linacre College.
Pensyarah Kanan Swinburne University of Technology Sarawak Dr Jee Teck Teng berkata, penyertaannya dalam program PCCL memberi perubahan ketara terhadap pendekatan kepimpinannya.
“Program PCCL membentuk saya menjadi pemimpin yang lebih inklusif serta memperkukuh keupayaan saya membina hubungan bermakna antara Malaysia dengan United Kingdom,” katanya.
Pada masa yang sama, Profesor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Thomas Kamarudin Kana yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Luar Bandar dan Komuniti HIKMAH Sarawak menjelaskan, PCCL berperanan melahirkan barisan pemimpin masa depan yang berteraskan integriti dan keterangkuman.
“PCCL bertujuan menyediakan pemimpin yang bersedia mengharungi cabaran masa hadapan dengan berpaksikan integriti, keterangkuman serta wawasan jauh demi kesejahteraan sejagat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan, Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Fadzli Ngatmi menegaskan, kepemimpinan merupakan elemen utama dalam pembentukan serta pembangunan modal insan.
“Kepemimpinan merangkumi usaha membuka potensi individu untuk menjadi lebih baik di samping memimpin dengan tujuan yang jelas serta penuh kebijaksanaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tudungpeople Filipina Norhanie Lao Mama pula menyifatkan, program tersebut berjaya mengukuhkan pendekatan kepemimpinan yang bersifat adaptif dan reflektif.
“Saya memimpin dengan matlamat yang jelas, namun kekal terbuka untuk terus belajar kerana setiap pengalaman membentuk perjalanan saya sebagai seorang pemimpin,” katanya.
Peserta kohort kedua ini mewakili pelbagai kementerian, jabatan kerajaan Sarawak serta institusi pengajian tinggi termasuk UNIMAS, Swinburne Sarawak, i-CATS University College, UiTM, UPM dan INCEIF, selain daripada sektor korporat, kejuruteraan, takaful, perundingan dan kemanusiaan.
Program tersebut turut disertai peserta antarabangsa dari pelbagai negara, sekali gus mewujudkan rangkaian kerjasama global dalam kalangan peserta.

Kesemua graduan menyatakan kesediaan untuk terus memperkukuh kepemimpinan beretika, meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa serta melaksanakan tanggungjawab sosial melalui latihan lanjut dan penglibatan aktif dalam jaringan alumni.
Penganjur turut menyuarakan keyakinan graduan PCCL berpotensi memainkan peranan penting dalam memperkasa kecemerlangan organisasi, memacu pembangunan negara serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan.





