LENGGONG – Seramai 25 pasangan pengantin baharu dalam Parlimen Lenggong diraikan dalam Majlis Kenduri Kahwin Beramai-ramai Parlimen Lenggong yang berlangsung meriah di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini, pada Ahad.
Program tahunan anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan, dan Majlis Pelancongan Lenggong itu menjadi lebih istimewa kali ini apabila diadakan sempena tarikh unik, 25 Mei 2025.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, simbolik angka 25 pada tarikh, jumlah pasangan, serta kehadiran kira-kira 25,000 tetamu menjadikan majlis kali ini begitu bermakna buat semua pasangan pengantin.
“Setiap pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran penyertaan. Mereka hanya perlu menyediakan mas kahwin dan wang hantaran sahaja,” katanya.

Menurut beliau, semua pasangan telah selamat diijabkabulkan dan turut diraikan dalam majlis berinai yang diadakan pada hari sebelumnya.
“Pihak penganjur menyediakan segala keperluan termasuk pakaian pengantin, jurusolek, majlis kenduri dan penginapan percuma untuk berbulan madu di kawasan pelancongan sekitar Lenggong,” tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin yang hadir merasmikan acara tersebut.
Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri memaklumkan, sebanyak 10 kampung sekitar Lenggong terlibat dalam penyediaan hidangan majlis, sekali gus memperlihatkan semangat gotong-royong dan kebersamaan masyarakat setempat.
“Sambutan yang diberikan amat luar biasa. Malah, penganjuran majlis ini turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila semua bilik hotel dan inap desa habis ditempah oleh keluarga pengantin,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar penganjuran program ini pada masa akan datang dapat melibatkan penyertaan pasangan bukan Melayu serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan rasmi daerah Lenggong.






