
PUTRAJAYA – Setiausaha Bahagian di Bahagian Pertanian, Sektoral dan Perancangan Pembangunan Sosioekonomi, Kementerian Ekonomi, Datuk Zul Hadi Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Zul Hadi, 57, mempunyai pengalaman selama 32 tahun dalam bidang ekonomi, kewangan, dasar dan perancangan strategik.
Beliau berkata, pengalaman dan kepakaran Zul Hadi diharap dapat memperkukuh penyelarasan pentadbiran serta pelaksanaan dasar dan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.
“Saya percaya pengalaman, kepakaran dan kepimpinan beliau akan menjadi kekuatan dalam menggalas amanah sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah, khususnya dalam memperkukuh penyelarasan pentadbiran dan pelaksanaan dasar serta projek pembangunan Persekutuan di Sabah.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri juga perlu terus diperkukuh bagi mempercepat penyelesaian isu pelaksanaan, mengurangkan jurang penyelarasan antara agensi serta memastikan keperluan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Zul Hadi yang berkelulusan Sarjana Sains Perakaunan Kewangan dari Westminster College Oxford, United Kingdom itu juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit di Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Perbendaharaan Malaysia.
Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.






