
MIRI – Seramai 180 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Columba menerima sumbangan set alat tulis daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri bagi membantu persiapan mereka menjelang peperiksaan penting tersebut.
Sumbangan menerusi inisiatif Ahli Parlimen Miri merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man itu telah disampaikan oleh wakilnya, Christopher Jemat Amie dalam satu majlis ringkas di sekolah berkenaan, pada Khamis (8 Oktober) lalu.
Menurut Choon Man, sokongan kepada para pelajar tidak seharusnya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, sebaliknya ia wajar merangkumi penyediaan keperluan asas supaya mereka dapat memfokuskan tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran.
“Setiap pelajar mempunyai kelebihan dan potensi masing-masing. Perkara yang paling penting adalah mereka terus berusaha dan berani bangun semula sekiranya berdepan cabaran.
“Saya percaya kejayaan hanya dapat dibina melalui usaha yang konsisten serta disiplin yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati para calon agar memanfaatkan masa yang berbaki dengan memperbanyakkan latih tubi, tidak segan mendapatkan bimbingan guru apabila berdepan kesukaran, serta tidak mudah berputus asa, di samping mendoakan kejayaan cemerlang buat semua pelajar.
Sementara itu, dalam program yang sama, wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri tersebut turut mengambil kesempatan meninjau pelaksanaan inisiatif program pemeriksaan mata di sekolah berkenaan.
Program saringan penglihatan itu amat penting bagi memastikan kesihatan mata pelajar berada pada tahap yang optimum, sekali gus membolehkan mereka menelaah pelajaran dalam keadaan yang lebih selesa.
Sebagai rekod, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri kini dalam perancangan untuk meneruskan perluasan inisiatif sumbangan alat tulis tersebut ke sekolah-sekolah lain secara berperingkat bagi membantu lebih ramai calon SPM di sekitar bandar raya ini.



