
BETONG – Kerajaan Sarawak dijangka berdepan komitmen sehingga RM1 bilion bagi menanggung kos Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) apabila pelaksanaannya melibatkan beberapa kohort pelajar serta pengajian di peringkat sarjana.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini kerajaan menanggung kira-kira RM200 juta bagi membiayai 8,000 pelajar baharu yang menyertai skim berkenaan pada tahun ini.
“Semalam, kami telah bermesyuarat dan untuk tahun ini sahaja, kosnya mencecah RM200 juta bagi menampung 8,000 pelajar baharu.
“Siapa sangka kita dapat memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak kita?
“Kosnya tinggi. Itu baru untuk tahun pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Abang Johari turut menyampaikan tawaran FTES kepada 10 pelajar di Bahagian Betong yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang.
Antara bidang pengajian berkenaan ialah Sains Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Sains Agroteknologi, Sains Komputer, Kejuruteraan Mekanikal, Reka Bentuk Dalaman, Kejuruteraan Elektrik serta Pengurusan Hartanah dan Pembinaan.
Tawaran tersebut melibatkan institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan i-CATS University.
Menurut Abang Johari, jumlah peruntukan diperlukan akan meningkat secara berperingkat apabila kohort pertama memasuki tahun pengajian berikutnya, selain kohort baharu turut menerima manfaat FTES.
“Apabila kohort pertama memasuki tahun kedua, kita perlu menanggung kos untuk dua kohort.
“Apabila kohort kedua memasuki tahun ketiga, kita perlu menanggung tiga kohort.
“Kemudian, apabila kohort ketiga memasuki tahun keempat, kita perlu menanggung kos untuk empat kohort.
“RM200 juta didarabkan dengan empat, bersamaan RM800 juta.
“Kalau mereka melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, tambah lagi RM200 juta, menjadikan keseluruhannya RM1 bilion,” ujarnya.
Susulan peningkatan komitmen kewangan itu, beliau menegaskan Sarawak perlu mempunyai sumber pendapatan yang kukuh dan mampan bagi memastikan dasar pendidikan percuma berkenaan dapat diteruskan.
“Kita mesti mempunyai pendapatan yang mencukupi.
“Insya-Allah, di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pendapatan kita akan sentiasa meningkat,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari berkata pelaksanaan FTES turut menyaksikan peningkatan penyertaan pelajar Bumiputera, selain membuka peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat Sarawak tanpa mengira latar belakang.
“Antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, mereka mempunyai peluang yang sama.
“Maknanya, kita inklusif.
“Sebab itu dasar kita jangan eksklusif.
“Kalau kita tumpu kepada satu kaum, ia bermakna kaum lain akan tersisih daripada keseluruhan struktur dalam era baharu,” tambahnya.
Beliau berkata, pembangunan masyarakat dalam era baharu tidak seharusnya ditentukan berdasarkan latar belakang seseorang, sebaliknya bergantung kepada keupayaan serta ilmu pengetahuan yang dimiliki.
“Yang penting ialah ilmu. Dengan pendidikan, kita memberikan peluang kepada anak-anak kita untuk menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.





