
PUTRAJAYA – Apabila International Institute for Management Development (IMD) menerbitkan World Competitiveness Ranking (WCR) 2026, perhatian umum segera tertumpu kepada kejayaan Malaysia melonjak daripada kedudukan ke-23 kepada tangga ke-15 dunia.
Pencapaian itu sememangnya membanggakan kerana mengangkat Malaysia kembali dalam kelompok negara paling kompetitif di dunia. Namun, di sebalik angka keseluruhan tersebut, tersembunyi satu indikator yang mungkin lebih penting daripada ranking keseluruhan itu sendiri.
Malaysia melonjak daripada tangga ke-36 kepada tangga ke-13 dunia bagi indikator Competition Legislation (Kod 2.4.10), iaitu salah satu komponen di bawah kluster Business Legislation dalam penilaian IMD. Peningkatan sebanyak 23 anak tangga itu merupakan antara lonjakan paling besar yang direkodkan Malaysia dalam laporan berkenaan.
Lebih menarik, jika dibandingkan dengan kedudukan pada 2024, Malaysia berada di tangga ke-41 dunia. Dalam tempoh hanya dua tahun, negara melonjak sebanyak 28 anak tangga, satu perkembangan yang menggambarkan perubahan ketara terhadap persepsi komuniti perniagaan antarabangsa mengenai keberkesanan kerangka persaingan negara.
Bagi kebanyakan rakyat, angka-angka ini mungkin sekadar statistik dalam sebuah laporan antarabangsa. Namun bagi pelabur, syarikat multinasional dan institusi kewangan global, indikator seperti ini mempunyai makna yang jauh lebih besar.
Ia bukan sekadar mengukur prestasi ekonomi, sebaliknya mencerminkan tahap keyakinan terhadap institusi yang mengawal selia pasaran.
Mengapa indikator ini penting?
Dalam metodologi IMD, indikator Competition Legislation (2.4.10) menilai sejauh mana undang-undang persaingan sesebuah negara berkesan dalam mencegah amalan persaingan tidak adil (competition legislation is efficient in preventing unfair competition).
Antara amalan yang dinilai termasuk pembentukan kartel, pakatan penetapan harga, manipulasi tender dan penyalahgunaan kedudukan dominan oleh syarikat tertentu. Meskipun ianya jarang menjadi tajuk utama berita namun, kesannya amat besar terhadap negara.
Apabila pasaran tidak kompetitif, pengguna akhirnya terpaksa membayar harga yang lebih tinggi, pilihan menjadi lebih terhad dan inovasi bergerak dengan lebih perlahan. Pada masa sama, syarikat baharu atau perusahaan kecil berdepan kesukaran untuk memasuki pasaran kerana perlu bersaing dengan pemain yang menguasai pasaran secara tidak adil.
Sebaliknya, apabila undang-undang persaingan dikuatkuasakan dengan berkesan, syarikat didorong untuk bersaing melalui inovasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan. Keadaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah meningkatkan keyakinan pelabur bahawa pasaran sesebuah negara beroperasi secara telus dan saksama.
Dalam erti kata lain, indikator ini bukan sekadar mengenai undang-undang. Ia sebenarnya mengukur tahap kepercayaan terhadap sistem ekonomi sesebuah negara.
Institusi yang jarang disebut, tetapi penting
Di Malaysia, tanggungjawab memastikan persaingan pasaran kekal sihat dipikul oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menerusi penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Peranan MyCC amat penting dalam memastikan ekonomi negara berfungsi mengikut prinsip persaingan yang adil.
Setiap tindakan terhadap kartel, manipulasi tender atau penyalahgunaan kuasa pasaran bukan sekadar menyelesaikan sesuatu kes. Ia turut membina keyakinan bahawa Malaysia mempunyai institusi yang mampu mempertahankan integriti pasaran.
Inilah antara elemen yang semakin diberi perhatian dalam penilaian daya saing global.
Jika diperincikan, peningkatan Malaysia tidak hanya berlaku pada indikator Competition Legislation.
Di bawah kluster Business Legislation, beberapa indikator lain turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Indikator Public Sector Contracts (Kod 2.4.03) melonjak daripada kedudukan ke-47 dunia pada 2025 kepada tangga ke-27 pada tahun ini. Indikator ini mengukur sejauh mana kontrak sektor awam terbuka kepada penyertaan pembida asing.
Sementara itu, indikator State Ownership of Enterprises (Kod 2.4.09) turut meningkat daripada tangga ke-46 kepada ke-27 dunia. Indikator ini menilai persepsi sama ada pemilikan perusahaan oleh kerajaan menjadi halangan kepada aktiviti perniagaan.
Walaupun indikator Parallel Economy (Kod 2.4.11) hanya berubah sedikit daripada kedudukan ke-34 kepada ke-35 dunia, ia masih menunjukkan kestabilan berbanding kedudukan ke-45 yang dicatatkan pada 2024.
Corak peningkatan ini memberi gambaran bahawa perubahan bukan berlaku pada satu indikator secara terpencil, sebaliknya melibatkan beberapa komponen yang berkaitan dengan persekitaran perniagaan dan tadbir urus pasaran.

Pengukuhan diteruskan
Menariknya, tidak lama selepas laporan IMD diterbitkan, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026.
Ketika menggulung perbahasan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa pindaan tersebut bertujuan memperkukuh kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC, selain memastikan fungsi pasaran terus kekal adil, telus dan dinamik.
Sudah tentu pindaan itu tidak mempengaruhi penilaian IMD 2026 kerana proses penarafan telah selesai lebih awal. Namun, ia menunjukkan bahawa usaha memperkukuh institusi persaingan negara tidak terhenti selepas pengiktirafan antarabangsa diterima.
Sebaliknya, ia diteruskan melalui penambahbaikan dasar dan perundangan.
Hakikatnya, peningkatan Malaysia daripada tangga ke-23 kepada tangga ke-15 dunia dalam IMD WCR 2026 tidak berlaku secara kebetulan.
Ia lahir daripada gabungan pelbagai faktor, termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, keberkesanan institusi dan keyakinan terhadap mekanisme pasaran.
Dalam konteks itu, lonjakan indikator Competition Legislation daripada tangga ke-36 kepada ke-13 dunia memberi makna yang lebih besar daripada sekadar perubahan angka.
Ia mencerminkan bahawa dunia semakin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berusaha memperkukuh tadbir urus pasaran melalui institusi yang lebih berkesan dan sistem persaingan yang lebih diyakini.




