
KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, bakal beralih gelanggang apabila diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 di sini, hari ini.
Pencalonan Aminuddin di Linggi sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kerusi yang bakal ditandinginya selepas timbul desas-desus bahawa beliau akan meninggalkan kubu lamanya di DUN Sikamat.
Aminuddin sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat selama hampir dua dekad selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.
Sepanjang tempoh itu, beliau berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dalam empat pilihan raya berturut-turut dengan peningkatan sokongan pengundi.
Pada PRU12, Aminuddin menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi selepas memperoleh 6,036 undi.
Pada PRU13, beliau sekali lagi mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 510 undi selepas meraih 8,584 undi.
Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan dengan majoriti 3,413 undi dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN dan PAS selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN 2023, Aminuddin mengekalkan kerusi Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas mendapat 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.
Sementara itu, DUN Linggi yang bakal ditandingi Aminuddin merupakan kerusi yang dikuasai BN sejak sekian lama.
Pada PRN 2023, kerusi berkenaan dimenangi calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli, dengan majoriti 1,461 undi selepas memperoleh 7,832 undi, mengatasi pencabarnya daripada PN-Bersatu, Zamri Md Said yang mendapat 6,371 undi.
Sebanyak 36 kerusi DUN akan dipertandingkan pada PRN Negeri Sembilan kali ini, membabitkan lebih 889,400 pengundi berdaftar.






