
SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengingatkan umat Islam dengan intipati khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib masjid-masjid di seluruh negeri bertajuk “Berpada Bicara, Lisan Dijaga”
Dalam satu kenyataan menerusi media sosial, Baginda menegaskan adab berbicara tidak terlibat dalam perdebatan yang tidak mendatangkan manfaat, meskipun berada di pihak yang benar.
“Ini kerana perdebatan berlebihan hanya akan menimbulkan permusuhan yang tidak berkesudahan.
“Tegas Baginda, lisan merupakan amanah besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Melalui lisan, kebenaran dapat ditegakkan, ilmu dapat disebarkan dan kebaikan dapat disampaikan kepada manusia.
“Lisan yang dijaga dengan baik menjadi sebab datangnya keberkatan dan rahmat Allah SWT. Manakala lisan yang tidak dikawal pula mampu menjerumuskan seseorang ke dalam dosa serta mencetuskan fitnah dan permusuhan dalam masyarakat,” tambah kenyataan itu pada Rabu.
Kenyataan itu turut menyebut fitnah yang berpunca daripada lisan sangat berbahaya.
“Baginda bimbang segala keburukan yang dahulu tersebar melalui lidah, kini mampu disebarkan dalam sekelip mata melalui telefon pintar dan media sosial. Apa yang ditaip oleh jari mampu dibaca oleh ribuan manusia, bahkan kekal tersebar walaupun penulisnya telah tiada.
“Justeru, sebelum kita menekan butang “kongsi” “hantar” atau “siar” tanyakanlah dahulu kepada diri sendiri: Adakah perkara ini benar? Adakah ia membawa manfaat?
“Adakah Allah SWT reda dengan tindakan ini? Jika jawapannya tidak pasti, maka diam dan tidak menyebarkannya adalah lebih selamat bagi agama dan maruah kita,” jelas kenyataan itu lagi.





