PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) akan diperhalusi dan diteliti oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi penganjuran aktiviti luar membabitkan semua institusi di bawah kelolaannya bagi memastikan aspek keselamatan dapat diperkukuh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah ini susulan kemalangan mengorbankan dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis ketika mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus di Pantai Merdeka pada Sabtu lalu.
“Kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kemalangan yang berlaku. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga. Siasatan yang telus, tuntas dan menyeluruh sedang berjalan.
“Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan dan tiada sesiapa yang akan dilindungi,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, beberapa pegawai yang terbabit secara langsung dalam penganjuran program itu akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis sehingga proses siasatan selesai.
Terdahulu, beliau hadir ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada Isnin bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan keluarga terdekat kedua-dua mendiang dan menyampaikan ucapan takziah.







