‘Hampir semua ketua bahagian Bersatu tolak Muhyiddin calon PM’

TINDAKAN mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 mendapat tentangan hebat dalam kalangan pimpinan Bersatu yang mencerminkan hakikat bahawa presiden parti sudah kehilangan aura dalam menarik undi rakyat.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan hampir kesemua ketua bahagian Bersatu tidak bersetuju dengan usul menaikkan semula Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak realistik dalam keadaan parti sedang tenat, malah boleh menyinggung perasaan Pas yang kini menjadi tonggak utama dalam PN.

“Majoriti ketua bahagian tidak bersetuju dengan usul untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri atau pun poster boy.

Jika kita buat macam ini, it will offend Pas. Dalam keadaan Bersatu paling lemah, akaun kena frozen (dibekukan), ahli makin berkurangan, (dan) pejabat tutup, Bersatu amat bergantung terhadap ihsan Pas di kawasan masing-masing,” katanya dalam program audio siar The Zaid Ibrahim Podcast, pada Isnin.

Dalam pada itu, yang kini digantung daripada Bersatu selama sepenggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) berkaitan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu berkata, kepimpinan parti sepatutnya sedar bahawa Bersatu bukan lagi seperti dahulu sewaktu memegang tampuk kerajaan.

“Disebabkan itu, Bersatu disarankan menghormati dan memahami sensitiviti Pas terhadap perkara berkenaan.

“Bersatu kini berbeza seperti sebelum ini yang merupakan parti kerajaan namun kini ia hanya parti dengan jumlah kerusi di Parlimen yang sedikit berbanding dengan parti Pas,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Pas lebih cenderung menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, susulan kepemimpinannya dalam menggerakkan jentera Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).

Kata beliau, karakter Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut disenangi Ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang dan  sokongan itu jelas kelihatan apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menamakan beliau menjadi Ketua Pembangkang dalam satu mesyuarat yang diadakan selepas PN gagal membentuk kerajaan tanpa mengadakan sebarang perbincangan terlebih dahulu.

“Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) bertanya kepada Tuan Guru (Abdul Hadi), siapa yang Pas mahu namakan sebagai Ketua Pembangkang dan beliau segera menjawab, Pas setuju menamakan Datuk Seri Hamzah. Saya lihat Tan Sri Muhyiddin agak terkejut kerana Datuk Seri Hamzah ketika itu ialah Setiausaha Agung PN.

“Jadi, Pas pun nampak Datuk Seri Hamzah memainkan peranan yang berkesan untuk menyatukan jentera Pas dan Bersatu sebab itu kita menang PRU15 (kerusi terbanyak),” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fahysal turut menceritakan mengenai kejadian ketika malam sebelum PRU15, apabila UMNO yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi pilihan kepada Pas sama ada mahu kekal dengan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO atau bersama Bersatu dalam PN.

“Majoriti dalam Pas berkira-kira mahu bersama MN tapi mereka tak mahu meninggalkan Bersatu. Tuan Guru kata tidak boleh, kalau MN sekadar UMNO dan Pas aja, tidak cukup. Siapa yang selamatkan Bersatu ketika itu untuk kekal dalam PN? Orang itu ialah Datuk Seri Hamzah.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, beliau mempunyai maklumat mengenai kemungkinan keputusan pilihan raya dan beliau berjaya meyakinkan Pas dan Tuan Guru, jika Pas bersama Bersatu, mereka akan dapat bahagian yang besar dan ia terbukti benar,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, selepas dilantik menjadi Ketua Pembangkang, Hamzah memainkan peranan penting di Parlimen, terutama menjadikan pembangkang sebagai satu pasukan kukuh di samping banyak menanggung kos perbelanjaan PN, termasuk di ibu pejabat PN dan Parlimen.

“Beliau mempunyai karakter yang disukai semua Ahli Parlimen. Majoriti Ahli Parlimen PN menyokong beliau sebagai Ketua Pembangkang, jadi memang tiada isu terhadap kepemimpinannya. Bagaimanapun, keadaan itu menyebabkan Hamzah kurang disenangi segelintir pimpinan Bersatu yang mendakwa beliau membayangi kepemimpinan Muhyiddin.

“Sehingga pada satu masa, wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau sebagai Setiausaha Agung Bersatu. Ada ketika di mana hubungan Datuk Seri Hamzah dan Presiden agak renggang kerana orang ketiga yang mencucuk, apabila beliau lebih ke depan dan mendapat liputan.

“Ini kerana beliau hanya Setiausaha Agung yang dilantik, jadi (dikatakan) pandai-pandailah, jangan membayangi.

“Bila nak ke depan, ada orang Presiden tegur beliau balik. Ini masalah yang dihadapi beberapa tahun ini,” katanya.

Related Posts

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

KOTA KINABALU – Sabah menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 11 September 2026.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu petang ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah. Ketibaan Perdana Menteri di Terminal 2,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula