
KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan harga RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter akan dikekalkan selama sebulan dan merupakan harga permulaan bagi memberi masa kepada pengguna menyesuaikan diri,
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selepas tempoh itu, harga petrol tanpa subsidi itu akan mula bergerak secara mingguan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM), seperti kaedah pelaksanaan harga diesel yang telah dilaksana kerajaan persekutuan.
“Selepas sebulan, harga akan berubah setiap minggu berdasarkan harga pasaran global. Kalau harga minyak dunia naik, ia akan naik; kalau turun, harga di sini pun akan turun. Sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia itu berjalan lancar
“Hampir 1.5 juta pengguna telah menikmatinya sejak ia dibuka terlebih dulu khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu lalu dan kemudiannya pada Ahad diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Ekonomi Dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 bertemakan Rancangan Malaysia Ke-13: Melakar Semula Pembangunan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, berdasarkan pengalaman pelaksanaan penyasaran semula diesel yang pada awalnya dilancarkan pada kadar RM3.35 seliter
“Bagaimanapun, kini turun kepada sekitar RM2.93 seliter, mencerminkan penurunan harga minyak mentah dunia.
“Pendekatan yang diambil kerajaan itu adalah bagi memastikan rakyat menikmati harga yang lebih adil serta telus, sejajar dengan pergerakan pasaran antarabangsa),” katanya.
Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.
Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Semua warga negara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.





