
SANDAKAN – Pertandingan pondok berhias sempena sambutan Hari Malaysia di Kampung (Kg) Sim-Sim berjaya mencuri perhatian dengan penyertaan aktif penduduk setempat yang menampilkan semangat perpaduan serta kreativiti tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, beliau kagum dengan semangat dan usaha masyarakat yang semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Tahun ini saya nampak mereka lebih bersemangat daripada tahun lalu.
“Sokongan yang ditunjukkan sangat inklusif dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Program ini bukanlah satu pertandingan semata-mata, tetapi ruang untuk mereka berkumpul, mengeratkan hubungan serta saling menguatkan antara komuniti,” katanya ketika di temui selepas membuat penilaian Pertandingan Pondok Berhias Sempena Hari Malaysia 2025 di Kg Sim-Sim, di sini pada Ahad.

Menurut Frankie, pertandingan yang melibatkan pondok-pondok jambatan dari Kg Berhala Darat Sim-Sim, Kg Melayu Bumiputera Sim-Sim dan Rancangan Rumah Murah Sim-Sim ini berjaya mewujudkan suasana kebersamaan dalam kalangan penduduk.
“Program ini memberi peluang kepada masyarakat bekerjasama dan setiap tahun mereka menantikannya.
“Malah, ramai berharap ia diteruskan pada tahun depan dengan lebih meriah lagi,” jelasnya.
Beliau turut menambah, penyertaan lebih banyak jambatan pada tahun ini menunjukkan sambutan terhadap program itu semakin baik dan menjadi kebanggaan sempena Hari Malaysia pada 16 September.
Sementara itu, Setiausaha ADUN Tanjong Papat, Liau Fui Fui berkata, pertandingan pondok berhias itu mula dianjurkan sejak 2019 dan terus berkembang dari tahun ke tahun.
“Setiap kali penganjuran, kita dapat lihat kreativiti peserta semakin meningkat dengan penggunaan bahan kitar semula yang memberi nilai tambah kepada hasil dekorasi mereka.
“Selain itu, semangat patriotik dan perpaduan juga semakin terserlah dalam kalangan penduduk,” katanya.
Katanya, usaha ini penting bagi memupuk rasa cinta negara terutama dalam kalangan generasi muda.
“Pertandingan ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang dan diharapkan menjadi acara tahunan, bukan sahaja di Kg Sim-Sim tetap juga sebagai contoh kepada kampung lain,” ujarnya.








