
KUCHING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan pertambahan kerusi daripada 82 kepada 99.
RUU berkenaan diluluskan selepas menerima sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan diumumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.
Seramai 31 ADUN mengambil bahagian dalam sesi perbahasan, terdiri daripada 29 wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang sebelum kelulusan diberikan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika membentangkan bacaan kali ketiga berkata, langkah ini penting bagi memastikan wakil rakyat dapat menyuarakan kehendak rakyat secara lebih adil dan menyeluruh.
“DUN ini mesti kekal dinamik dan responsif terhadap perubahan demografi serta permintaan rakyat untuk perwakilan yang lebih saksama. Ia demi memastikan institusi ini terus mencerminkan suara dan aspirasi seluruh rakyat Sarawak,” kata beliau merangkap ADUN Asajaya pada Mesyuarat Khas DUN pada Isnin.
Menurut beliau, pertambahan 17 kerusi bukan sekadar penyempadanan semula, sebaliknya langkah memperkukuh keupayaan pentadbiran negeri dalam merancang pembangunan mengikut keperluan setiap kawasan.
Beliau turut menolak dakwaan dua ADUN DAP yang menyifatkan RUU itu sebagai usaha memperkukuh kedudukan Parti Gabungan Sarawak (GPS).
“Kerajaan Sarawak tidak mempunyai kuasa menentukan lokasi kerusi baharu kerana ia tertakluk sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” tegasnya





