
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi bagi menghalang penerbitan semula kandungan-kandungan daripada dua saluran di platform Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Perkara itu susulan permohonan MCMC untuk memfailkan tindakan sivil terhadap kedua-dua saluran berkenaan yang dikenal pasti menyebarkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, tindakan terbabit merupakan langkah terakhir dalam menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut, selain menghalang penerbitan semula kandungan-kandungan seumpamanya.
“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi.
“Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi,” katanya.
Mengulas lanjut, MCMC menegaskan, tindakan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].
Katanya, ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulangkali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC.
“MCMC sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.
“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama untuk platform lain juga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara,” katanya.





