SMD Semiconductor buka peluang kerjaya berteknologi tinggi di TRACE 2025

KUCHING – SMD Semiconductor, syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak, bakal menyertai Pameran Kerjaya TRACE 2025 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Jun ini di DeTAR Putra, Kota Samarahan.

Penyertaan syarikat itu dijangka membuka ruang kepada golongan muda tempatan untuk menceburi bidang teknologi tinggi menerusi pelbagai program latihan dan peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor reka bentuk cip dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil berkata, syarikat kini giat memburu bakat tempatan yang berpotensi dalam bidang inovasi, penyelesaian masalah serta teknologi canggih sejajar dengan keperluan semasa industri semikonduktor.

“Kerjaya dalam reka bentuk cip bukan sekadar teknikal, tetapi ia membentuk masa depan – daripada cip dalam telefon pintar hinggalah sistem kenderaan elektrik. Kami mahu anak Sarawak menjadi sebahagian daripada perubahan ini,” katanya.

Menurutnya, antara inisiatif utama yang ditawarkan ialah Semiconductor Mastery Programme iaitu program latihan selama enam bulan meliputi bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) dan kejuruteraan pembangunan penyelesaian ujian IC.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta syarikat antarabangsa seperti Melexis NV dari Belgium dan X-Fab Sarawak dari Jerman.

SMD turut menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Swinburne Sarawak dalam usaha menawarkan program pendidikan lanjutan dalam bidang mikroelektronik.

Sepanjang pameran berlangsung, pengunjung boleh mengunjungi reruai SMD untuk berinteraksi secara langsung dengan tenaga industri, menghantar resume dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan peluang latihan serta kerjaya melalui platform SMD Academy.

Penyertaan SMD dalam TRACE 2025 merupakan antara langkah menyokong visi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu menjadikan Sarawak sebagai hab semikonduktor bernilai tinggi di Asia Tenggara menjelang 2030.

TRACE 2025 merupakan pameran kerjaya tahunan terbesar di Sarawak yang menghimpunkan lebih 80 syarikat pelbagai industri dan dijangka menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung.

FOTO: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

Surau Ad-Dhuha lokasi Outreach Komuniti Sungai Lembing

KUANTAN – Seramai 50 sukarelawan menyertai program Outreach Komuniti di Surau Ad-Dhuha, Kuala Kenau, dekat sini, hari ini. Program itu anjuran bersama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Paya Besar, Majlis…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

MASJID TANAH – PKR Cabang Masjid Tanah memberi bayangan bakal menampilkan barisan calon muda pada pilihan raya akan datang sebagai usaha membawa pembaharuan politik yang lebih dekat dengan denyut nadi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Surau Ad-Dhuha lokasi Outreach Komuniti Sungai Lembing

Surau Ad-Dhuha lokasi Outreach Komuniti Sungai Lembing

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka