DATUK Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden PKR bagi pemilihan parti tahun 2025 selepas tiada pencabar mengemukakan pencalonan bagi jawatan tersebut sehingga tempoh ditutup pada jam 11.59 malam tadi.
Memetik laporan Sinar Harian, menurut sumber parti, jawatan Timbalan Presiden akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi, dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.
Bagi penggal 2025 hingga 2028, seramai 12 calon telah menghantar pencalonan bagi bertanding jawatan Naib Presiden PKR. Mereka ialah:
- Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
- Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam)
- Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor)
- Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)
- Datuk Seri R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)
- Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)
- R. Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat)
- Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor)
- Senator Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang)
- Hee Loy Sian (bekas Exco Selangor)
- Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara)
- Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol)
Sementara itu, jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) hanya menerima satu pencalonan iaitu Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.
Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, ia bakal menyaksikan saingan antara penyandang merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Pencalonan dilakukan secara dalam talian selama dua hari bermula Khamis lalu.
Mengikut jadual pemilihan, tempoh bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei, diikuti rayuan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh berkempen (15-22 Mei) dan hari pengundian pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR bersama Kongres AMK dan Kongres Wanita akan diadakan di Johor Bahru dari 21 hingga 24 Mei ini.






