
KOTA SAMARAHAN – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berpeluang menyantuni 400 asnaf dari Zon Muara Tuang dan Zon Stakan dalam Program P197 Samarahan Prihatin 2025.
Menurut beliau, program ini merupakan inisiatif tahunan untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama semasa bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.
“Program ini bukan hanya memberi bantuan material tetapi sokongan moral dan tanda keprihatinan terhadap golongan asnaf,” ujarnya.
Rubiah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan berharap bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan dan kebahagiaan golongan asnaf menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program P197 Samarahan Prihatin 2025 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Rabu.
Sementara itu, Rubiah terus komited memastikan program ini diteruskan setiap tahun supaya dapat meringankan beban golongan asnaf.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Tanpa sokongan pihak yang terlibat, program ini mungkin tidak berjaya dilaksanakan,” ujarnya lagi.
Turut hadir Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, wakil Residen Bahagian Samarahan, Norazizah Ramali@Bujang, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan, Seli Hassan, serta wakil agensi berkaitan.






