Khatib tak baca teks khutbah Jumaat JAIPk keterlaluan, tidak boleh didiam – Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan tindakan khatib yang tidak mahu membaca teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini sebagai perbuatan keterlaluan dan tidak boleh didiamkan sama sekali.

Titah baginda, mendiamkan diri terhadap tindakan itu ibarat membiarkan barah menular lebih luas dan akhirnya menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah.

Selain perkara itu telah disembah maklum, baginda turut bertitah meminta masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah songsang.

“Kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan mereka yang merasakan diri telah bertaraf ilmuwan atau ulama, semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang.

“Tazkirah, kuliah dan diskusi agama juga semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.

“Masjid dan surau yang dibangunkan sebagai tempat menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah,”titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Pemerkasaan Intergrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf’ di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut, Sultan Nazrin bertitah, Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah membuat pemantauan rapi.

“Khatib dikurniakan tauliah bertugas di mimbar dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau.

“Diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon berkaitan.

“Oleh itu, pemantauan rapi perlu dilakukan terhadap pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, tetapi menyebarkan fahaman yang boleh merosakkan keharmonian umat Islam,”titah baginda.

Justeru kata baginda, mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan amanah, dilapor melanggar adab bekerja, hendaklah disiasat secara adil dan saksama oleh pihak berkuasa, sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Sebelum ini, JAIPk telah menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini ekoran tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Tindakan yang berkuat kuasa 6 Februari lepas melibatkan imam masjid iaitu dua di Teluk Intan dan masing-masing di Parit Buntar dan Kuala Kangsar.

Related Posts

12 daripada 16 perkara MA63 diselesaikan era Kerajaan MADANI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 daripada keseluruhan 16 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimuktamadkan setakat ini diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jalan Kampung Jaya Baru-Pasar Tamu Mingguan Kunak siap diturap

KUNAK – Jalan raya sepanjang kira-kira 300 meter menghubungkan Kampung Jaya Baru dengan Pasar Tamu Mingguan Kunak akhirnya selesai diturap semula bagi memberi keselesaan sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

12 daripada 16 perkara MA63 diselesaikan era Kerajaan MADANI

  • By Ezmie
  • October 5, 2026
12 daripada 16 perkara MA63 diselesaikan era Kerajaan MADANI

Pengamal media perlu jadi mata dan telinga rakyat, jangan gadai etika demi kejar tontonan

Pengamal media perlu jadi mata dan telinga rakyat, jangan gadai etika demi kejar tontonan

BN sangat terbuka bekerjasama dengan PH di Melaka – Zahid

BN sangat terbuka bekerjasama dengan PH di Melaka – Zahid

Kerajaan ambil tanggungjawab, patuhi undang-undang isu pengurusan pelarian

  • By Aden
  • October 5, 2026
Kerajaan ambil tanggungjawab, patuhi undang-undang isu pengurusan pelarian

Jalan Kampung Jaya Baru-Pasar Tamu Mingguan Kunak siap diturap

  • By Fatin
  • October 5, 2026
Jalan Kampung Jaya Baru-Pasar Tamu Mingguan Kunak siap diturap

Sabah perlu peruntukan lebih besar dalam Belanjawan Negara

  • By Fatin
  • October 5, 2026
Sabah perlu peruntukan lebih besar dalam Belanjawan Negara