
PUTRAJAYA – Kutipan keseluruhan zakat harta dan fitrah di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus dengan lebih daripada RM1.13 bilion berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, selain daripada peningkatan jumlah kutipan, jumlah pembayar zakat turut bertambah sebanyak dua peratus iaitu daripada 1.83 juta pada 2023 kepada 1.86 juta pada tahun lalu.
Jelasnya, kaedah pembayaran melalui potongan gaji zakat turut menjadi pilihan utama pembayar dengan menyumbang sebanyak 51 peratus ataupun RM575 juta, seterusnya diikuti bayaran di kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM191 juta, portal PPZ-MAIWP (RM149 juta) dan ejen (RM73 juta).
“Daripada jumlah keseluruhan itu, zakat pendapatan menyumbang kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM772 juta (68 peratus), seterusnya diikuti zakat perniagaan RM183 juta ataupun 16 peratus.
“Baki 16 peratus lagi terdiri daripada zakat wang simpanan, zakat harta, zakat fitrah, qadha dan lain-lain,” katanya pada Sidang Akhbar Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2024 Wilayah Persekutuan di sini tadi.
Katanya, PPZ-MAIWP turut menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1.21 bilion dengan jumlah bilangan pembayar zakat seramai 1.89 juta pada tahun 2025.
“Bagi kutipan wakaf pula, PPZ-MAIWP turut menyasarkan kutipan sebanyak RM17.4 juta dengan jumlah pewakaf seramai 40,000 orang pada tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, MAIWP turut mengagihkan sebanyak RM1.15 bilion dana zakat kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan seperti skin bantuan zakat, Al-Wakalah dan prasarana kepada umat Islam.
“Jumlah penerima juga meningkat 4.45 peratus pada tahun 2024 dengan peningkatan seramai 11,551 jumlah penerima berbanding tahun 2023.
“Jadi, pada tahun 2025, MAIWP mensasarkan peningkatan sebanyak lima peratus bagi jumlah penerima berbanding tahun 2024 iaitu seramai 284,683 orang penerima keseluruhan dan 34,651 penerima ketua keluarga,” jelasnya.
Tambah Mohd. Na’im, daripada jumlah keseluruhan agihan zakat itu, sebanyak RM693 juta telah diagihkan menerusi skim bantuan seperti kebajikan, perlindungan, ekonomi dan perubatan.
“Manakala baki agihan selain daripada skim bantuan adalah sebanyak RM463 juta di mana ia diagihkan melalui bantuan seperti pembangunan asnaf, institusi pendidikan dan kebajikan.
“Susulan itu, untuk 2025, MAIWP mensasarkan perbelanjaan agihan zakat berjumlah RM1.34 bilion dengan fokus utama kepada pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf selain pemerkasaan modal insan menerusi pendidikan,” tambahnya.





