PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri, melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), sedang berusaha untuk mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang bagi projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru Madani di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tempoh kelulusan kebenaran merancang akan dipendekkan kepada sekurang-kurangnya 40 hari, berbanding 58 hari yang biasa diambil oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurut beliau, langkah ini penting untuk memastikan projek tersebut dapat dimulakan sebelum tarikh pelancaran yang dijadualkan pada pertengahan Februari 2025.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberikan contoh kejayaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di mana permohonan kebenaran merancang diluluskan dalam masa sekitar 42 hari. Jika Kuala Lumpur boleh melakukannya, saya yakin Pulau Pinang juga mampu mencapainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Natal anjuran PDC.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar, dan pegawai-pegawai PDC.
Kon Yeow turut menjelaskan bahawa pemaju dijadualkan menghantar pelan bagi mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang pada 2 Januari 2025.
“Kerajaan Negeri yakin MBSP dapat menyelesaikan permohonan kelulusan dalam tempoh 40 hari, kerana Perdana Menteri telah menetapkan tarikh pelancaran pada pertengahan Februari 2025. Jika pelan yang dikemukakan teratur, agensi terlibat akan membuat penilaian segera dan kita dapat pastikan projek ini dilancarkan tepat pada masanya,” tambahnya.
Kon Yeow juga menekankan bahawa projek RMM Bakat Baru Madani sangat penting untuk menyediakan bakat muda yang berkemahiran, terutamanya dalam bidang teknikal, kejuruteraan, dan graduan universiti, untuk mengisi kekosongan jawatan di sektor industri Pulau Pinang.
“Kami ingin memastikan RMM tersedia untuk golongan muda, khususnya mereka yang bekerja dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, serta graduan universiti, agar mereka dapat mengisi jawatan yang ditawarkan oleh pihak industri di negeri ini. Projek ini juga terbuka kepada mereka yang bekerja di Pulau Pinang, selain penduduk negeri ini. Ini adalah usaha kami untuk menyokong pembangunan industri yang memerlukan bakat teknikal,” jelasnya.
Kon Yeow turut memberitahu bahawa kerajaan negeri telah mengenal pasti dua lokasi tanah di Seberang Perai untuk projek ini, iaitu seluas 34 ekar di Seberang Jaya (Jalan Todak, di hadapan Penang Bird Park) dan 161.5 ekar berhampiran Batu Kawan (berhampiran Design Village Outlet Mall).
“Di kedua-dua lokasi ini, lebih 35,000 unit rumah mampu milik akan dibina dengan sasaran siap dalam tempoh 15 tahun. Pembinaan projek ini akan menggunakan Teknologi Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi Prasiap (PPVC), menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang menggunakan pendekatan ini di bawah Rangka Kerja Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (ESG),” katanya.
Projek ini juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk kolam renang, gimnasium, dewan serba guna, dan taman permainan, dengan setiap unit rumah dijual pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000.



