KUANTAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Felda diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Anwar.
Zahid yang juga Menteri KKDW berkata beliau terlebih perlu berbincang mengenai perkara itu dengan Perdana Menteri.
“Saya akan bawa perkara itu (letak Felda di bawah KKDW) kepada pengetahuan Perdana Menteri dan apabila beliau bersetuju, saya sendiri akan bawa ke Kabinet.
“Kita harap ia dapat menyelaraskannya (cadangan itu) tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Lateks Agropolitian Chemomoi, di Bentong, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sebelum ini dilaporkan berkata cadangan meletakkan Felda di bawah KKDW akan dibangkitkan dalam menteri berkaitan dalam Kabinet.
Felda kini di bawah Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan menambah 10 pusat pengoperasian pengumpulan lateks di seluruh negara hujung tahun depan.
Katanya, buat masa ini terdapat lima pusat seumpama itu dan pembinaan baharu adalah perlu bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara di masa depan.
Beliau menegaskan, Risda komited melaksanakan pembangunan industri getah negara berskala besar dengan fokus kepada peningkatan pengeluaran hasil lateks yang dijangka mampu mengeluarkan hasil satu juta tan metrik menjelang 2030.





