Pengkritik dan pemfitnah itu berbeza, bukan saya arahkan kandungan diturunkan – Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini ‘menyekolahkan’ pembangkang di Dewan Rakyat berkait perbezaan label antara pengkritik dan pemfitnah.

Beliau sekali gus menafikan pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membisukan suara rakyat melalui sekatan di platform-platform media sosial.

Menurut Fahmi lagi, kebebasan yang tidak berbatas atau kebebasan mutlak akan mengundang malapetaka.

“Kritikan itu kita terima, bahkan Perdana Menteri juga tidak menghalang sesiapa daripada mengkritik tapi sekiranya kritikan itu asasnya adalah fitnah belaka contoh yang dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) yakni fitnah yang mengatakan bahawa 1.2 juta rakyat China telah mendapat kewarganegaraan.

“(Ketika itu) di mana ahli-ahli Parlimen mempertahankan? Apabila Menteri Dalam Negeri berkata bahawa fitnah ini berlegar dan ahli-ahli Yang Berhormat yang membangkitkan fitnah itu. Jadi ini contoh fitnah paling drastik.

“Jangan cuba melindungi pemfitnah dengan label pengkritik. Kita harus bezakan pemfitnah dan pengkritik.

“Kalau nak kata suara rakyat dibisukan bukan pentadbiran ini, bukan PM ini yang tutup Parlimen, bukan. Maka, beringat-ingatlah apa yang berlaku dulu,” tegas Fahmi lagi.

Beliau malah membidas fitnah yang dilemparkan pembangkang kononnya pelaksanaan pelesenan platform media sosial bermula tahun depan akan menyamakan Malaysia dengan Republik Korea Utara.

“Mengenai kegusaran beberapa ahli Parlimen tentang proses pelesenan (media sosial) saya rasa untuk mengatakan pada 1 Januari 2025 kita akan jadi Korea Utara adalah hiperbola yang agak luar biasa dan bagi saya sangat tidak adil kerana Malaysia selama ini kita telah mengamalkan satu sikap yang baik.

“Bahkan setakat ini tidak ada netizen yang ditangkap seperti mana yang berlaku dulu, ada netizen yang mengingatkan bila dia tweet tentang MySejahtera esok lusa dah kena tangkap, (tapi) kali ini tidak berlaku keadaan seperti itu.

“Kita telah berjaya beredar dari zaman edan pada ketika Parlimen itu sendiri ditutup, jadi kalau nak buat perbandingan dengan Korea Utara bilakah zamannya,” soal Fahmi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Justeru kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, beliau dan kementeriannya termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedia untuk mengadakan lebih banyak perbincangan dengan wakil-wakil rakyat termasuk pembangkang untuk memberi pemahaman terhadap pelesenan media sosial.

“Niat kita tidak lain tidak bukan bahawa pihak jabatan siasatan jenayah dan juga siasatan jenayah komersial telah memberi satu laporan yang cukup menggusarkan bahawa jenayah sedang dan telah berhijrah secara massa ke dalam media sosial.

“Kita lihat kesan daripada kebanjiran kandungan sama ada scam atau judi dalam talian ini berlaku paling banyak dalam platform Facebook, jadi sekiranya ada ahli Parlimen yang mempertahankan Facebooknya ataupun Meta, maka sukacita saya maklumkan di sini setakat hari ini dalam tahun ini saja jumlah kandungan yang diminta oleh MCMC untuk diturunkan daripada Facebook secara keseluruhan adalah 249,2668 dan daripada Facebook sahaja.

“Jumlah kandungan perjudian 172,072 dan jumlah kandungan scam 56,136 menjadikan jumlah ini adalah 91.6 peratus daripada semua kandungan yang diminta oleh MCMC untuk diturunkan daripada Facebook scam dan judi.

“Mekanismenya MCMC tidak boleh mengarahkan kerana kita tidak ada kuasa itu dan MCMC hanya meminta platform untuk diturunkan, terpulang kepada platform untuk menurunkan,” jelas beliau.

Menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung sama ada kandungan berunsur kritikan terhadap kerajaan juga diturunkan di media sosial, Fahmi menegaskan bukan semua aduan kepada MCMC dibuat oleh beliau.

“(Kandungan kritik kerajaan) bukan semua permintaan daripada MCMC itu datang daripada saya.

“Aduan kepada MCMC boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, saya tidak dimaklumkan dan MCMC tidak meminta saya untuk pengesahan sebelum mereka mengambil tindakan kerana mereka ada kuasa untuk berhubung dengan platform-platform ini.

“Ini tidak benar, sekiranya sesuatu kandungan itu diturunkan maka platform tersebut mengaku bahawa kandungan itu melanggar ‘community standard’ platform-platform tersebut.

“MCMC akan memanjangkan aduan yang ia terima daripada sesiapa sekali pun bukan saya sahaja,” ujar Fahmi.

Related Posts

PM lancar Program Pembaharuan Teksi MADANI, sasar pendapatan pemandu RM7,000 sebulan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan pendapatan pemandu teksi meningkat sehingga RM7,000 sebulan menerusi Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini. Anwar berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
JPM: Azam Baki kekal sah dalam Lembaga Penasihat NFCC hingga 2027

PUTRAJAYA – Tan Sri Azam Baki kekal sebagai anggota Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sehingga 19 September 2027 berdasarkan pelantikan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, menurut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua sekolah luar bandar Mukah terima ‘Interactive Smart Board’t

Dua sekolah luar bandar Mukah terima ‘Interactive Smart Board’t

Peniaga milikan tunggal, perkongsian layak nikmati diesel bersubsidi melalui SKDS

Peniaga milikan tunggal, perkongsian layak nikmati diesel bersubsidi melalui SKDS

PM lancar Program Pembaharuan Teksi MADANI, sasar pendapatan pemandu RM7,000 sebulan

PM lancar Program Pembaharuan Teksi MADANI, sasar pendapatan pemandu RM7,000 sebulan

Ekonomi Sabah melonjak 5.1 peratus pada 2025, KDNK cecah RM88.8 bilion

Ekonomi Sabah melonjak 5.1 peratus pada 2025, KDNK cecah RM88.8 bilion

Lebih 200,000 pekebun kecil dijamin terus terima bekalan baja

Lebih 200,000 pekebun kecil dijamin terus terima bekalan baja

JPM: Azam Baki kekal sah dalam Lembaga Penasihat NFCC hingga 2027

JPM: Azam Baki kekal sah dalam Lembaga Penasihat NFCC hingga 2027