
BERIKUTAN kematian Tun Dr Daim Zainuddin hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan memutuskan tindakan selanjutnya berhubung kes yang melibatkan bekas Menteri Kewangan itu.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang berkata, tindakan seterusnya akan diputuskan oleh TPR setelah perbincangan dilakukan oleh SPRM bersama pihak terbabit.
“Kami akan membincangkan tindakan seterusnya dengan pihak TPR dan bagaimana pemergian Allahyarham Tun Daim berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan dilakukan.
“Untuk itu, hanya TPR boleh memutuskan bagaimana untuk meneruskannya dan kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Pada masa sama, Azam menegaskan, perkara tersebut kemungkinan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
“SPRM akan memberikan kemas kini sebaik sahaja keputusan dibuat,” katanya.
Terdahulu, Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor pada pagi tadi.
Allahyarham yang berusia 86 tahun telah dimasukkan ke Hospital Assunta sejak beberapa minggu lalu kerana penyakit strok yang dialaminya.



