Atlet para kelahiran Tawau tamatkan karier dengan bergaya, bolot 3 pingat termasuk emas

TAWAU – Atlet para olahraga Sabah kelahiran Tawau, Sabarudding Bacho, 45, menzahirkan perasaan gembira menamatkan karier di Temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) Sarawak 2024 dengan bergaya selepas membolot tiga pingat dalam acara olahraga yang dipertandingkan.

Ketiga-tiga pingat iaitu emas, perak dan gangsa masing-masing dimenangi menerusi olahraga lontar peluru lelaki F35 (Kecacatan Fizikal), lempar cakera lelaki F35 dan rejam lembing lelaki.

Sehubungan itu, Sabarudding menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Belia Sukan Sabah (KBSS), Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengharumkan nama Sabah.

“Terima kasih juga kepada seluruh keluarga saya terutama ibu dan adik-beradik saya kerana banyak beri sokongan dan dorongan.

“Tidak lupa juga kepada rakan atlet lain serta jurulatih-jurulatih terutama Tony Sawan yang banyak memberi tunjuk ajar dalam sukan olahraga,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Sabarudding yang berasal dari Kampung Sentosa Blok 5 Tawau itu berkata, dia menyertai Sukan Para Sukma sejak tahun 2012 dan berterusan mewakili Sabah sehingga tahun ini.

Dalam pada itu, beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam Temasya Sukan Asean Para Games di Nay Pyi Taw Myanmar pada 2014 dan Sukan Asean Para Games Kuala Lumpur 2017.

“Di Myanmar saya meraih emas dalam acara lempar cakera dan masing-masing perak dalam acara lontar peluru dan rejam lembing sementara di Kuala Lumpur, lempar cakera dan lembing dapat pingat perak dan gangsa bagi acara lontar peluru,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Sabarudding memaklumkan akan fokus sebagai jurulatih olahraga dan akan menjalankan gerakan mencari bakat baharu sukan para.

“Mereka yang istimewa sewajarnya tidak berputus asa atau berasa tersisih, sebaliknya menjadikan ia sebagai satu kelebihan kerana mereka boleh mengasah bakat dan akhirnya menyumbang kepada mengharumkan Negeri di Bawah Bayu (Sabah) dan Malaysia,” katanya.

Para Sukma Sarawak akan berakhir pada Sabtu ini dan setakat pukul 4.30 petang tadi (Jumaat) Sabah masih kekal di kedudukan kedua dengan meraih 62 emas, 42 Perak dan 31 Gangsa dengan jumlah keseluruhan 135 pingat.

Related Posts

Musketeers Football perkukuh ekosistem bola sepak akar umbi melalui inovasi

SANDAKAN – Musketeers Football memperluas pembangunan bola sepak akar umbi menerusi penerokaan produk, teknologi, pendidikan dan peluang kerjaya dalam industri sukan. Presidennya, Hardy Pudar berkata, penyertaan dalam SCENIC Sabah Creatixé…

Lebih lanjut

teruskan membaca
YPM FC juara Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah

YPM FC muncul juara edisi sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah selepas menewaskan Majlis Daerah Raub (MDR) 2-1 pada aksi final di Stadium Darul Makmur, di sini malam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PP26 bukti Pasifik bukan pemisah antara negara

PP26 bukti Pasifik bukan pemisah antara negara

Waspada guna AI jana grafik Jalur Gemilang, pastikan 14 bucu dan jalur – Fahmi

Waspada guna AI jana grafik Jalur Gemilang, pastikan 14 bucu dan jalur – Fahmi

‎Sabah rekod 1,551 kes kebakaran terbuka sejak Mac

  • By Ezmie
  • September 14, 2026
‎Sabah rekod 1,551 kes kebakaran terbuka sejak Mac

Pameran Hari Malaysia 2026 rungkai sejarah pembentukan negara, papar dokumen sahih MA63

Pameran Hari Malaysia 2026 rungkai sejarah pembentukan negara, papar dokumen sahih MA63

Kadar elaun RELA RM8 sejam disemak

Kadar elaun RELA RM8 sejam disemak

Firma audit bebas dilantik bagi forensik profesional ke atas FELDA

Firma audit bebas dilantik bagi forensik profesional ke atas FELDA