
KUCHING – Kerajaan Sarawak mahu kerajaan Persekutuan memberi kuasa semula urusan pelantikan ahli jemaah pengarah (AJP) persatuan peladang negeri (PPN) dan pertubuhan peladang kawasan (PPK).
Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kuasa pelantikan tersebut diperlukan bagi memenuhi syarat di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Selain memenuhi syarat MA63, kuasa pelantikan yang dipegang oleh kerajaan Sarawak dapat mempercepat pembangunan sektor pertanian Sarawak,” kata beliau.
Tambah beliau, Putrajaya sudah pun menurunkan kuasa untuk melantik lembaga pengarah Persatuan Nelayan Sarawak.
“Jika persatuan nelayan diberikan kuasa, maka berikan kuasa yang sama kepada Persatuan Peladang (Negeri dan Kawasan),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bangunan PPN Sarawak di Kota Samarahan pada Rabu.
Sementara itu, Abang Johari sudah berbincang dengan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak, Dr Stephen Rundi.
“Saya juga akan berbincang dengan Peguam Besar Sarawak Saferi Ali untuk memperincikan permohonan ini bagi dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, menteri yang bertanggungjawab dalam bidang pertanian di Sarawak diberi kuasa untuk melantik AJP bagi PPN dan PPK.
Bagaimanapun, kuasa itu ditarik balik pada 2018 dan diletakkan di bawah kuasa Kementerian Pertanian Malaysia walaupun pertanian berada di bawah Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.



