
KLUANG – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan pengundi keluar bagi tiga pusat mengundi mencapai 35.47 peratus, berbanding 18.6 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Ramlan berkata, peratusan itu adalah setakat jam 10 pagi mewakili tiga pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
“Dan berdasarkan kepada trend ini, ia meningkat berbanding PRU lalu.
“Dengan cuaca yang baik ini saya berharap kita boleh mencapai lebih daripada 90 peratus pengundi awal kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi Dewan Mahkota, Kem Tentera Mahkota di sini, hari ini.

Seramai 4,510 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan berdaftar dengan SPR untuk PRK kali ini.
Daripada jumlah itu, seramai 3,865 pengundi awal berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di Kem Mahkota.
Bakinya, 645 pengundi awal dari Kem Batu 3 akan mengundi di dua saluran di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini.
Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.


