
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi mengingatkan semua pihak yang terlibat menyelenggara jalan raya bakal terkait dengan dosa jika tidak memastikan keadaan jalan raya selamat digunakan.
“Kalau kita tak buat kerja (menyelenggara jalan) dengan terbaik, kalau ada orang mati, kita berdosa,” kata Menteri Kerja Raya itu dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, beliau terpaksa bertegas dalam perkara yang melibatkan soal keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pada majlis penyerahan ini, Syarikat PBH Asset Management Sdn Bhd telah dilantik untuk melaksanakan penyenggaraan Lebuhraya Pan Borneo dengan nilai kontrak sebanyak RM69 juta untuk tempoh kontrak selama tiga tahun.
“Syarikat konsesi dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan yang terdiri dari Kerja Rutin (sepanjang tahun), Kerja Berkala Pavemen, Kerja Berkala Bukan Pavemen dan Kerja Kecemasan mengikut kelulusan dari masa ke semasa,” katanya.
Dalam hantaran itu, Alexander turut memaklumkan pihaknya telah menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan JKR Sarawak sebagai Wakil Kerajaan bagi Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, Alexander berkata, JKR Sarawak pula merupakan rakan strategik KKR dan bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia dalam perkara berkaitan operasi, penyenggaraan dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja bagi memastikan pematuhan terma-terma dan syarat-syarat oleh syarikat.
“Ingin saya tegaskan bahawa kerja penyenggaraan jalan ini melibatkan fasiliti awam dan pasti ia melibatkan kepentingan rakyat.
“Justeru, suka untuk saya mengingatkan kepada pihak Syarikat PBH Asset Management Sdn Bhd untuk memastikan penyampaian perkhidmatan ini berjalan lancar, mengikut spesifikasi dan masa ditetapkan sebagaimana syarat-syarat terkandung di dalam perjanjian kontrak.
“Besar juga harapan saya agar Syarikat menghargai dan menggunakan kepercayaan yang diberikan ini dengan sebaiknya,” katanya.




