
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil menjawab berkenaan isu halal beberapa premis makanan popular, seperti yang tular di laman sosial sejak semalam.
Jakim menerusi Bahagian Hab Halal, memaklumkan, berdasarkan semakan dalam sistem MYeHALAL Jakim, lima restoran yang tular itu didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menurutnya, restoran tersebut adalah Johnny’s Restaurant; Black Canyon; Dolly Dim Sum; Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

“Bagaimanapun, semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati, empat outlet premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best mempunyai SPHM yang masih sah.
“Jabatan ini telah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September 2024 jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook milik Jakim, hari ini.
Jakim mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas isu tular surat berkaitan status sijil halal jenama-jenama di atas, melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) miliknya.
Sementara itu, berdasarkan semakan di laman web Ayam Penyet Best mendapati mereka mempunyai 15 kedai di Kuala Lumpur dan Selangor.
Kedai makan itu menerusi kenyataan di Facebook menegaskan dapur pusatnya yang membekalkan bahan mentah dan makanan ke semua cawangannya, telah mendapat sijil halal Jakim sejak 2012.
“Untuk Halal premis adalah di bawah syarikat Smart Green Trading Sdn Bhd telah berkuatkuasa sejak 2021. Kami juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal untuk cawangan-cawangan kami secara berperingkat.
“Kami dari Ayam Penyet Best akan memastikan makanan kami sentiasa halal dan bersih. Kami berharap penjelasan ini dapat meredakan sebarang kebimbangan dan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan kepada kami,” katanya.







