
KOTA KINABALU – Penubuhan United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) bukan sahaja menyediakan wadah perjuangan rakyat tetapi juga sebagai wadah penyelesaian masalah dan isu-isu rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga merupakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, Konvensyen UPKO 2024 yang akan diadakan pada Ahad akan mengambil pendekatan baharu yang bakal membincangkan penyelesaian masalah yang dihadapi rakyat.
“Konvensyen itu adalah platform untuk pimpinan kita yang mendapat tempat, mendapat lantikan di dalam Kementerian, di dalam agensi-agensi kerajaan untuk berhujah tentang wawasan mereka di agensi masing-masing dan bagaimana agensi ini dapat membantu penyelesaian isu-isu rakyat yang kita perjuangkan selama ini.
“Sementara itu para perwakilan sudah tentu boleh berhujah secara terbuka menyentuh ucapan dasar, menyentuh pembentangan ataupun isu-isu yang dekat dengan hati kita sebelum kita rumuskan di dalam penangguhan esok,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Ulang Tahun UPKO ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, dalam konvensyen UPKO juga akan melancarkan jentera pilihan raya di peringkat pusat sebelum beralih ke bahagian-bahagian bagi menggerakkan semangat agar UPKO terus berkibar di seluruh Malaysia sebelum memasuki arena pilihan raya.
Ewon turut berkata, Sambutan Ulang Tahun ke-30 UPKO ini memberi peluang untuk memperbaiki dan meningkatkan usaha dalam membantu rakyat khususnya.
“Sambutan ini memberi ruang kita menginsafi, perjuangan kita ini masih panjang masih banyak tuntutan-tuntutan rakyat, tuntutan-tuntutan kita yang belum terlaksana dan kita akan teruskan, masih ada perkara-perkara yang dekat dengan hati rakyat yang perlu kita bela,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan UPKO akan terus memberi sumbangan yang bernilai kepada rakyat dan negara bagi memastikan parti ini terus cemerlang selamanya.






