KOTA KINABALU – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasioanl (PTPTN) hari ini memberi sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 20 orang anak pengamal media di Sabah.
Jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM10,000 dengan setiap daripada seorang menerima RM500.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud sumbangan itu bertujuan untuk menghargai pengamal media yang banyak membantu KPT sekali gus memupuk sifat menabung dalam kalangan anak-anak.
“Kami sebagai pihak KPT amat menghargai segala komitmen pengamal media yang selalu membantu kami di peringkat kementerian untuk menguar-uarkan apa-apa juga isu berkaitan dengan KPT dan juga isu-isu yang berlegar di Parlimen Sepanggar.
“Jadi pada hari ini, untuk menghargai pengamal media terutama di Zon Sabah ini, kita anjurkan majlis berbuka puasa dan kita harap dengan majlis ini akan mengeratkan ikatan silaturrahim di antara kita.
“Dan yang pentingnya juga kita telah memberi sumbangan kepada anak-anak pengamal media kita untuk mereka belajar menabung dengan akaun SSPN di bawah PTPTN,” katanya dalam sidang media selepas majlis Tautan Kasih Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi bersama media Zon Sabah, di Hotel Shangri-La Tanjung Aru pada Khamis.

Mustapha berkata, dengan adanya akaun Simpan SSPN Prime, ia akan memudahkan anak-anak untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti kelak.
Jelasnya, ia adalah salah satu inisiatif pihak PTPTN untuk mengurangkan isu keciciran dalam arus pendidikan negara.
Ketika ditanya mengenai usaha dalam menggalakkan peminjam PTPTN membayar semula pinjaman, Mustapha berkata pihaknya sedang mencari kaedah terbaik yang memberikan situasi menang-menang antara KPT, PTPTN dan pemiutang.
Jelasnya, aa susulan daripada, peningkatan jumlah hutang PTPTN yang belum dibayar balik oleh peminjam sehingga mencecah billion ringgit.
”Kita sebenarnya sedang mencari kaedah terbaik iaitu istilah menang-menang di peringkat kementerian, PTPTN dan juga yang pemiutang daripada PTPTN.
“Tapi sebenarnya kaedah yang kita buat di peringkat PTPTN ini memang begitu ringan.
“Maknanya mana-mana yang masih berhutang ini, kita minta supaya mereka datang ke pejabat PTPTN dan bincang dari hati ke hati.
“Kalau memang ada masalah, memang kita tidak akan paksa mereka membayar. Kita akan buat penstrukturan pinjaman tersebut,” ujarnya.
Mustapha juga berkata, beliau tidak mahu menekan mana-mana pihak sebaliknya mengesyorkan untuk mengadakan perbincangan bagi mencapai kaedah terbaik.
” Jadi kita ambil kira semua perkara. Jadi janganlah rasa tertekan sebab kita tidak mahu juga menekan mana-mana pihak, tapi yang penting berbincang. Jangan tidak bayar langsung. Itu saja yang kita mahu,” katanya.






