
KOTA KINABALU – Seramai 193 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) disenarai pendek sebagai penerima Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0 inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, program SULUNG: 3.0 bertujuan membantu anak pertama dari keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke universiti awam di seluruh negara.
Jelas beliau, ini adalah ruang untuk anak dalam keluarga yang pertama berpeluang masuk universiti ini dapat dibantu dari segi yuran pendaftaran dan yuran pengajian mereka sepanjang pengajian.
“Senarai pendek untuk program sulung iaitu seramai 193 pelajar, itu baru ’shortlist’ tapi pihak UMS menerusi Hal Ehwal Pelajar (HEPA) terutamanya akan meneliti dan menapis pelajar yang layak.
”Program ini memberi impak positif khususnya dalam membantu golongan B40 untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
”Antara impaknya bagi melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang boleh mendapat keputusan yang baik dari segi akademik dan masa depan negeri ini.
“Saya fikir ini banyak membantu terutama golongan B40 khususnya kita di Sabah ini yang umum mengetahui bahawa Sabah ini antara yang paling ramai B40 dalam senarai miskin tegar.
”Jadi ini akan membantu untuk kita mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan itu,” katanya semasa ditemui selepas Program Talk to Us di Dewan Canselor UMS pada Jumaat.
Dengan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Madani dan KPT Tinggi kerana meneruskan program tersebut.
Tambah beliau, pihaknya akan komited untuk membantu anak-anak Sabah agar diberi keutamaan dalam Program SULUNG 3:0 ini.
Dalam program sama, Mustapha turut menyampaikan ‘mock cheque’ Geran Aktiviti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS sebanyak RM20,000.







