
PAPAR – Sebanyak 16 projek pembangunan fizikal yang disenaraikan siap sepenuhnya dan mula dimanfaatkan oleh penduduk Mukim Kaiduan yang memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta.
Peruntukan tersebut diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi melaksanakan projek pembangunan di Kampung Angkat MADANI di kampung tersebut.
Menurut Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, pelaksanaan Kg Angkat MADANI ini memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk dalam Mukim Kaiduan, antaranya Kg Kaiduan, Kg Moliyoun, Kg Bisuang dan Kg Bolotikon.
“Pemilihan ini berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan, antaranya tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus.
“Antara objektifnya adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Pelaksanaan program ini tidak hanya tertumpu kepada projek-projek infrastruktur, tetapi turut melibatkan pengisian bukan fizikal seperti sesi libat urus bersama komuniti untuk memahami isu.
“Keperluan sebenar serta penyediaan perkhidmatan bergerak daripada pelbagai agensi kerajaan,” katanya semasa dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Perasmian Kg Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, di sini pada Sabtu.

Jelas Armizan, antara pembangunan fizikal yang diterima oleh penduduk mukim adalah membaik pulih jalan culvert, membina jambatan baharu dan naik taraf jalan Kg Kaiduan.
“Selain itu, pembinaan jambatan baharu Low Level Crossing (LLC) di Kg Ulu Kaiduan, naik taraf jalan di Kg Bisuang dan pembinaan jambatan gantung baharu ke SK Kaiduan.
“Pembinaan surau baharu dan dewan serbaguna di SK Kaiduan, naik taraf gereja, balai raya dan pembinaan gelanggang sepak takraw baharu Kg Bolotikon.
“Membaik pulih jambatan gantung, membina laluan pejalan kaki berbukit dan menabur batu kasaran (crusher run) di jalan utama Kg Moliyoun serta pemasangan lampu solar di Kg Kaiduan, Kg Bisuang dan Kg Bolotikon,” katanya.
Tambahnya, projek-projek yang siap tersebut dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Melalui akses perhubungan dan pengangkutan yang selamat, keselesaan rumah ibadat untuk aktiviti keagamaan serta dapat merancakkan aktiviti sosioekonomi masyarakat,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau turut merasmikan Mercu Tanda Kg Angkat MADANI serta Jambatan Low Level Crossing (LLC), melepaskan ‘Flag Off’ Kenderaan Bermotor dan menyaksikan sukan rakyat, Pertandingan Akhir Tarik Tali serta menghadiri Majlis Jamuan Rakyat bersama penduduk mukim.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.





