RANAU – Seramai 145 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Flipina ditahan menerusi Operasi Penguatkuasaan Imigresen, di beberapa buah rumah kongsi sekitar Kampung (Kg) Lutut di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan daripada aduan awam berhubung PATI yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan bekerja tanpa pas yang sah.
“Kesemua tahanan berumur di antara tiga bulan hingga 62 tahun yang terdiri daripada 82 orang lelaki dan 63 perempuan.
“Seramai 220 orang telah diperiksa dalam operasi ini.
“Daripada jumlah yang diperiksa ini, seramai 145 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Ranau.
Beliau berkata, operasi melibatkan 52 orang pegawai dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Pejabat Imigresen Ranau, Keningau, Kudat, serta dibantu empat orang Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bermula pada pukul kira-kira 12 tengah malam dan berakhir pukul 7 pagi tadi.
Tambahnya, tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan susulan.
“Semasa serbuan dan pemeriksaan terdapat kejadian kawasan tersebut agak mencabar kerana struktur geografinya yang menyebabkan kesukaran dalam mengharungi jalan yang tidak berturap dan berbukit-bukau yang mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke lokasi dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) sahaja.
“Pasukan penguatkuat kuasa juga terpaksa mengharungi tiga buah anak sungai untuk sampai ke lokasi sasaran,” katanya.
Tambah beliau, ketiadaan liputan rangkaian telekomunikasi juga menyukarkan pegawai untuk berhubung.
Jelasnya, terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan namun keadaan berjaya dikawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Beliau berkata, antara kesalahan yang telah dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6(1)(c), tinggal lebih masa Seksyen 15(1)(c) dan warganegara Malaysia yang dipercayai melindungi PATI dalam premis Seksyen 55E (1).
Tambahnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“JIM Sabah mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.





