
GAZA – Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 12,061 pelajar telah terbunuh dan 19,467 lagi cedera sejak bermulanya serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat pada 7 Oktober 2023, lapor Agensi WAFA.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut bahawa jumlah pelajar yang terbunuh di Semenanjung Gaza sejak permulaan serangan mencecah lebih daripada 11,946 orang, manakala yang cedera seramai 18,858 orang, di Tebing Barat pula, seramai 115 pelajar terbunuh dan 609 lagi cedera.
Kementerian itu juga melaporkan bahawa 564 guru dan pentadbir terbunuh serta 3,729 lagi cedera di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, manakala lebih daripada 153 orang ditahan di Tebing Barat.
Kementerian turut menegaskan bahawa 441 sekolah kerajaan, universiti dan bangunannya, serta 65 lagi yang bernaung di bawah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) telah dibom dan dirosakkan di Semenanjung Gaza.
Sebanyak 126 sekolah telah dibom dan dirosakkan, dan 77 daripadanya musnah sepenuhnya, manakala 91 sekolah dan 7 universiti di Tebing Barat diserbu dan dirosakkan.
Kementerian Pendidikan mengesahkan bahawa 788,000 pelajar di Semenanjung Gaza masih tidak dapat menghadiri sekolah dan universiti mereka sejak bermulanya serangan, sementara kebanyakan pelajar mengalami trauma psikologi dan menghadapi keadaan kesihatan yang sukar.








