PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menggerakkan usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja susulan konflik di wilayah pertikaian Preah Vihear.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri memaklumkan terdapat perkembangan baik susulan panggilan telefonnya dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, pada Khamis.
Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Wisma Putra meneliti perkembangan konflik sempadan membabitkan Thailand dan Kemboja susulan terdapat isyarat positif daripada kedua-dua negara.
“Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat isyarat positif dan kesediaan ditunjukkan Bangkok serta Phnom Penh.
“Perdana Menteri sudah meminta supaya Wisma Putra meneliti dan memberikan maklumat terkini hasil daripada perbincangan di antara Thailand dan Kemboja,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, pada Jumaat.

Tentera Thailand dan Kemboja sebelum ini dilaporkan bertempur di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaru itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei lalu susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, berdasarkan maklum balas diberikan Menteri Luar, dimaklumkan Perdana Menteri selaku pengerusi ASEAN memang memainkan peranan untuk meredakan konflik di antara kedua-dua negara berkenaan.
“Itulah sebab kenapa panggilan telefon kepada kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja diadakan semalam.
Pada waktu ini, terdapat kesediaan antara kedua-dua Perdana Menteri untuk mengumumkan gencatan senjata.
“Kita menunggu kenyataan daripada mereka. Ini antara peranan dimainkan Malaysia selaku pengerusi ASEAN,” katanya.





