
KUCHING – Tindakan seorang lelaki warga emas yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah mengundang padah apabila dia ditahan oleh pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sourabaya Hilir, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek warga tempatan berusia 66 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada jam 12.40 tengah hari.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek telah membawa kepada penemuan puluhan peket dadah.
“Pihak kami menjumpai 70 paket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 65.00 gram dengan nilai pasaran berjumlah RM7,150 ,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Alexson memaklumkan bahawa ujian saringan awal air kencing ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif.
Malah, semakan rekod mendapati warga emas berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari bermula 28 Februari hingga 4 Mac depan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” tegasnya.
Beliau turut menambah bahawa kejayaan tangkapan ini adalah hasil daripada risikan berterusan serta kerjasama erat daripada orang awam. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran musuh nombor satu negara itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diseru untuk menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211.



