PENGASAS FashionValet Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini
Kedua-dua mereka tiba pada 8.45 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dan dijangka akan didakwa di mahkamah pada Khamis (5 Disember).
Pasangan itu dilihat berpegangan tangan semasa menuju ke mahkamah.
Kedua-duanya berpakaian sedondon, dengan Vivy memakai sut putih dan manakala Fadza memakai sut hitam.
Pertuduhan itu difahamkan berkaitan kerugian pelaburan membabitkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, berjumlah RM43.9 juta.
Pada 3 Disember, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengumumkan bahawa pasangan itu akan hadir di mahkamah pada Khamis (5 Disember).
Pada 28 November, SPRM mengumumkan bahawa kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk semakan dan pertimbangan.
Sebelum ini, SPRM mengesan beberapa transaksi yang mencurigakan semasa siasatan terhadap kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang itu.
Urus niaga yang mencurigakan ini dikenal pasti dari 2018 hingga tahun lepas.








