
KOTA KINABALU – Usaha memulihkan tiang menara yang tumbang di Kampung Sarapung terus dilaksanakan oleh pasukan teknikal Sabah Electricity Sdn. Bhd. walaupun berdepan kesukaran akibat hujan lebat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, pasukan teknikal Sabah Electricity berhadapan dengan cabaran dalam usaha untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Jelasnya, faktor cuaca hujan yang berterusan menyebabkan perjalanan berjalan kaki untuk masuk ke lokasi tiang menara menjadi sukar.
“Namun begitu keselamatan anggota kerja sentiasa menjadi keutamaan.
“Pasukan tetap berusaha siang dan malam untuk memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Sabah Air Aviation Sdn. Bhd. yang membantu mengangkat peralatan pembinaan Emergency Restoration System (ERS).
“Helikopter digunakan bagi mengangkat tiang menara yang baharu,” katanya.
Beliau turut menyeru kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh pemulihan.
“Saya memberi jaminan busaha berterusan akan terus dilakukan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” ujarnya.