
KENYATAAN ADUN Chukai, Datuk Hanafiah Mat berhubung pelarasan tarif air mulai 1 Ogos 2025 melalui hantaran di laman Facebook beliau hanya mendedahkan satu perkara: Kerajaan Negeri Pas gagal mengurus, lalu rakyat menjadi mangsa.
27 tahun jadi alasan, tapi siapa yang lalai?
ADUN Chukai cuba menutup kelemahan pentadbiran dengan menyebut kononnya tarif air tidak pernah disemak selama 27 tahun.
Hakikatnya, inilah bukti nyata bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah serius merancang kelestarian sistem bekalan air.
Jika benar mereka kompeten, semakan berkala sudah lama dibuat secara tersusun tanpa perlu mengejutkan rakyat dengan kenaikan mendadak dua tahun berturut-turut — 2024 dan kini 2025.
Tuding ke Pusat, negeri lepas tangan
Alasan kononnya pelarasan ini ‘dikawal SPAN dan diluluskan Jemaah Menteri’ hanyalah cubaan melepaskan diri. Semua orang tahu, tanggungjawab operator air adalah di bawah kerajaan negeri.
Mengapa negeri lain mampu urus dengan lebih baik, tetapi Terengganu masih bergelut dengan masalah bekalan, tekanan rendah, dan air keruh? Negeri gagal urus, Pusat dijadikan kambing hitam.

Retorik ‘masih rendah’ tak mengenyangkan rakyat
ADUN Chukai mendakwa tarif di Terengganu masih rendah berbanding negeri lain. Tetapi rakyat bertanya: apa gunanya tarif ‘rendah’ jika paip rumah masih kerap kering?
Apa gunanya bayaran murah jika rakyat terpaksa keluar duit tambahan beli air mineral, tangki simpanan dan pam tambahan? Inilah kos tersembunyi yang tidak pernah diakui Kerajaan Negeri.
Janji kebajikan, hakikat penindasan
Pas selama ini menjerit kononnya mereka pembela rakyat, menolak dasar yang membebankan kos sara hidup. Tetapi sekarang, selepas berkuasa, tarif air dinaikkan dua tahun berturut-turut.
Apa jaminan tidak akan ada kenaikan lagi selepas ini? Janji kebajikan hanyalah retorik politik. Realitinya, rakyat Terengganu menanggung beban kerana Kerajaan Negeri gagal merancang.
Rakyat tidak peduli pada alasan berputar-putar. Yang rakyat tahu, bil air semakin mahal, bekalan masih bermasalah, dan pemimpin Pas hanya pandai menyalahkan orang lain.
Air adalah hak asas rakyat. Jika Kerajaan Negeri tidak mampu menjamin kecekapan pengurusan air, maka jelas mereka telah gagal menunaikan amanah.
“Lebai memang kaki lebong pah ke sudoh, mulut cakap pemerintahan Islam tapi kerja buat pelawok blake.”




