
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan hadir mencemar duli pada program himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat, Khamis ini.
Program itu diadakan di Masjid Negeri, dekat Kuantan, Pahang bermula jam 7 malam.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob menerusi satu kenyataan petang ini memaklumkan, program berkenaan adalah anjuran kerajaan negeri.
“Program ini bertujuan menunjukkan solidariti rakyat Pahang kepada institusi diraja Pahang dan manifestasi penyatuan rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik,” katanya.
Beliau memaklumkan program berkenaan diadakan di masjid negeri dengan pengisian solat Maghrib, bacaan Yasin, solat hajat dan solat Isyak.
Katanya, selesai program di masjid negeri, peserta himpunan akan berkumpul di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 bagi mendengar ceramah disampaikan Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin.
“Orang ramai dipelawa menyertai program himpunan ini dengan mengenakan pakaian kebangsaan.
“Sebarang pakaian berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik adalah tidak dibenarkan.
“Pihak polis Pahang diberi tanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
Zulkifli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang program himpunan bagi mengelak tercetus suasana tidak harmoni.
Katanya, kerajaan Pahang berharap penganjuran program himpunan ini dapat mencapai matlamat dalam penyatuan rakyat memartabatkan institusi raja berdaulat di Pahang.