
KOTA KINABALU – Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai helah politik lama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jelas Bung, langkah kedua-dua parti itu bukanlah satu strategi politik yang bijak, sebaliknya merupakan taktik lama yang diulang oleh watak sama dalam arena politik negeri.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa tindakan STAR dan SAPP keluar daripada GRS hanyalah taktik politik lama menjelang PRN Sabah.
“Namun bagi saya, langkah itu bukan strategi bijak tetapi helah lama yang diulang oleh watak sama,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam politik Sabah terdapat terlalu ramai individu yang berpura-pura memperjuangkan rakyat tetapi sebenarnya mengejar kuasa.
“Kata orang tua-tua, musang berbulu ayam, licik menipu, konon menjaga kandang tapi dialah pemangsa sebenar,” katanya.
Beliau berkata, politik sesetengah pemimpin hari ini hanya berselindung di sebalik slogan perjuangan rakyat sedangkan setiap langkah yang diambil adalah demi kepentingan diri sendiri menjelang pilihan raya.
“STAR dan SAPP boleh keluar masuk gabungan sesuka hati, tapi rakyat bukan lagi mudah diperbodoh. Sekali air bah, sekali pantai berubah,” katanya.
Katanya lagi, gelagat politik seperti itu sudah lapuk dan rakyat kini semakin bijak membezakan antara pejuang sejati dan pedagang janji.
“UMNO dan Barisan Nasional tidak akan bersekongkol dengan politik dua wajah. Kami tidak menjual prinsip untuk sepinggan kuasa,” ujarnya.
Beliau menegaskan, fokus UMNO dan Barisan Nasional Sabah kini adalah membina semula negeri dengan kestabilan, integriti serta hala tuju yang jelas.
“Rakyat sekarang bukan mudah diperdaya, yang menyalak paling kuat jarang menggigit, cuma mahu tunjuk taring pada bayang sendiri.
“UMNO BN Sabah tetap fokus pada perjuangan sebenar bukan politik sandiwara yang hanya hidup dengan lakonan dan tipu helah,” katanya.