
NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan menegaskan tiada keperluan untuk memansuhkan matrikulasi.
Ini kerana sistem berkenaan dan prauniversiti iaitu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf serta memenuhi merit kemasukan ke universiti awam (UA).
Menurut laporan Bernama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kedua-dua sistem itu telah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar.
“Saya mengikuti debat dan juga perbincangan itu (memansuhkan matrikulasi), cuma saya ingin nasihatkan supaya ia tidak keterlaluan.
“… dan juga maksudnya dalam aspek STPM dan matrikulasi ini telah pun berada dalam sistem pendidikan kita begitu lama.
“Kedua-duanya ada keistimewaan masing-masing dan juga memenuhi merit untuk masuk ke universiti awam, malah Kementerian dalam masa sama memberi komitmen penuh untuk terus menambah baik berdasarkan pandangan serta cadangan yang diterima dari semasa ke semasa,” katanya.