
TANJUNG MALIM – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Muallim pada Isnin.
Beliau berkata, lawatan itu melibatkan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, Batu 7, Behrang Ulu yang menempatkan 31 keluarga serta PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir, Ulu Slim yang menempatkan 17 keluarga.
Saarani turut meninjau kawasan yang terjejas seperti Kampung Baru, Behrang Ulu dan Kampung Orang Asli Sungai Lembing.
“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam Isnin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan, agensi dan jabatan yang bertungkus-lumus menjalankan kerja menyelamat dan membantu mangsa terjejas.
“Mudah-mudahan mereka yang terjejas tabah mengharungi dugaan ini,” ujarnya.
Seramai 194 mangsa banjir di daerah Muallim di tempatkan di dua PPS susulan kejadian banjir yang berlaku akibat hujan di beberapa kawasan sekitar daerah terbabit pada sebelah pagi.
