
TAWAU – Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan menerusi projek naik taraf klinik daif sebagai usaha mempercepat projek membangun semula Klinik Kesihatan Sungai Tamang di Pulau Sebatik yang telah beroperasi sejak 1969.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi memanfaatkan 25,000 penduduk di kawasan itu, projek berkenaan akan dimulakan seawal pertengahan 2026.
“Ini sudah lama kita sebut tetapi masih lagi belum mendapat apa-apa sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
“Oleh itu saya akan mengambil pendekatan yang agak tegas untuk dalam rangka pembaikan klinik-klinik daif, saya akan gunakan peluang ini untuk membangunkan Klinik Kesihatan Sungai Tamang ini.
“Saya tak mahu tunggu lagi, kita akan menggunakan peruntukan-peruntukan yang ada dalam Kerajaan MADANI ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Klinik Desa Sungai Imam, di Tawau, pada Rabu.

Mengenai Klinik Desa Sungai Imam, Dr Dzulkefly mahu klinik itu dijadikan model atau penanda aras bagi projek naik taraf Klinik Desa di seluruh negara kerana pantas dan menepati keperluan rakyat.
Dalam pada itu, beliau juga mengambil perhatian terhadap keperluan bot untuk petugas Kesihatan serta fasiliti lain KKM di Pulau Sebatik.
“Semua usaha ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk meningkatkan fasiliti khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan utama.
“Inilah yang dimaksudkan dengan liputan kesihatan sejagat (UHC) iaitu memastikan tiada seorang pun yang tercicir atau ‘leaving no one behind’, katanya.
Klinik Desa Sungai Imam yang mula dibina pada April dan siap sepenuhnya serta beroperasi sejak Disember tahun lalu itu bernilai RM600,000 memanfaatkan 16,222 penduduk sekitar.
