
SANDAKAN – Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan hasrat parti itu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang, di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, perkara itu dinyatakan secara terbuka pada Majlis Makan Malam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – USNO kawasan Sekong yang diadakan bagi mendekati masyarakat, khususnya daripada kaum Tionghoa.
“Sebenarnya malam ini bukan sambutan hari kemerdekaan atau perayaan lain, tetapi majlis untuk memperkenalkan diri dalam politik memandangkan PRN semakin hampir.
“Jadi, saya tidak mahu lagi ‘tapuk-tapuk’ (sembunyi-sembunyi) kami mahu umumkan secara terbuka bahawa USNO berminat untuk bertanding di DUN Sekong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Makan Malam Kepedulian Pemimpin Bersama Rakyat Sekong di Dewan Persatuan Hakka Sandakan di sini, pada Ahad.

Menurut Pandikar, USNO mencadangkan agar calon GRS bagi kawasan itu dipilih daripada parti USNO bagi merampas kembali kerusi tersebut yang kini disandang oleh parti Warisan.
“Dalam PRN lalu, Warisan menang dengan majoriti kira-kira 1,600 undi.
“Jadi, kali ini kami ingin cuba nasib sekiranya pucuk pimpinan GRS bersetuju,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, USNO menerima dengan terbuka sebarang keputusan pembahagian kerusi oleh kepimpinan GRS.
“Kalau dapat satu kerusi pun tidak mengapa, dua pun okey, tiga pun okey. Tidak tanding pun kami tetap bersama GRS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pandikar menekankan bahawa USNO kekal komited dalam GRS meskipun terdapat parti lain yang telah keluar daripada gabungan tersebut.
“USNO berpendirian bahawa GRS adalah gabungan paling mantap yang perlu diperkuatkan.
“Cakap-cakap kononnya rakyat Sabah hanya mahu parti tempatan itu hanyalah retorik politik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa banyak pemimpin Sabah masih bersama parti dari Semenanjung, termasuk beberapa tokoh besar seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Barisan Nasional) dan Datuk Seri Ronald Kiandee (Bersatu).
“Begitu juga di kawasan Sandakan, wakil rakyatnya ialah Vivian Wong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang juga parti dari Semenanjung.
“Jadi tidak benar kalau dikatakan rakyat Sabah hanya sokong parti tempatan semata-mata,” katanya.
Pandikar berkata, dalam dunia politik yang berteraskan demokrasi, setiap parti bebas membawa hala tuju dan pendirian masing-masing, namun bagi USNO, kesetiaan kepada GRS akan terus dikekalkan.
“Apapun yang berlaku, saya akan tetap bersama GRS,” ujarnya.