
KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Kadamaian dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini.
“Saya akan pertahankan kerusi DUN Kadamaian sebagai presiden parti.
“Saya yakin presiden-presiden parti yang lain juga akan ada ruang untuk bertanding dalam pilihan raya Sabah,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan keusahawan Koperasi Wanita Sabah 2025 di The Klagan Hotel, di sini pada Ahad.
Ditanya mengenai tarikh pembubaran DUN, Ewon berkata, beliau juga masih belum mendapat maklumat mengenai hal tersebut.
“Sujujurnya saya belum dapat makluman jemputan untuk hadir ke pengumuman jadi sama-sama kita tunggu,” ujarnya.