
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bekerjasama dengan menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan skim harga maksimum sempena musim perayaan dipatuhi semua pihak.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia termasuk memastikan pemantauan dilakukan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang musim perayaan sentiasa mencukupi.
Jelasnya, Perdana Menteri juga akan turun padang bagi meninjau harga barangan terkawal terkait skim harga maksimum musim perayaan itu lantas melihat sendiri situasi di bawah supaya peraturan dilaksanakan termasuk meletakkan tanda harga bagi barang kawalan.
“Perdana Menteri telah mengarahkan KPDN untuk memastikan pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri terus dipatuhi semua pihak.
“Ia penting bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti perniagaan malah penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada KPKM, agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Anwar Ibrahim dan PMO.
Menurutnya, Perdana Menteri turut menasihatkan para pengguna agar terus membuat laporan kepada agensi terlibat, khususnya KPDN andai kata terdapat sebarang permasalahan terkait harga barangan sepanjang musim perayaan ini.
Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri juga telah mengarahkan agensi dan pihak terlibat supaya segera turun padang membantu pengurusan pasca banjir di Johor dan Sabah bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir dalam membersihkan kediaman khususnya menjelang kehadiran Aidilfitri.
“Mengambil kira situasi di Johor dan Sabah yang kini beransur-pulih, seharusnya semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan sektor swasta menggembleng segala kudrat bagi membantu mempermudahkan kesulitan yang dihadapi mangsa banjir,” tambahnya.