POPE Leo XIV menegaskan bahawa perpaduan, kerjasama, perdamaian dan keamanan di rantau Timur Tengah masih mampu dicapai biarpun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau menyampaikan perutusan itu pada satu perhimpunan di pusat bandar Beirut yang dihadiri lebih 300 tokoh agama, merangkumi pemimpin pelbagai mazhab Kristian dan Islam. Majlis itu turut diserikan dengan persembahan muzik oleh Sistema Beirut Chants Choir, kumpulan koir Islamic Orphanage serta Imam al-Sadr Foundation.
“Kamu dipanggil menjadi pembina keamanan: menentang sikap tidak toleran, mengatasi keganasan, dan menghapuskan diskriminasi, dan menunjukkan jalan ke arah keadilan,” titahnya, lapor Anadolu.
Dalam ucapan seterusnya, Pope Leo menyifatkan rakyat Lebanon sebagai bukti nyata bahawa keharmonian pelbagai agama boleh dicapai.
“Dalam era ketika kewujudan bersama sering dilihat sebagai impian jauh, rakyat Lebanon membuktikan bahawa ketakutan, prasangka dan rasa tidak percaya tidak akan menjadi penentu akhir. Perpaduan serta perdamaian tetap mampu direalisasikan,” jelasnya.
Majlis itu dimulakan dengan ucapan Patriark Katolik Suryani, Ignatius Joseph III Younan, serta bacaan Injil dan al-Quran, diikuti ucapan daripada Mufti Besar Lebanon, Sheikh Abdul Latif Derian, dan Timbalan Ketua Majlis Tertinggi Islam Syiah, Sheikh Ali al-Khatib.






