
KANGAR – Perkhidmatan feri ke Langkawi kini dicatu kepada tiga trip sehari berbanding lima sebelum ini susulan peningkatan mendadak kos operasi akibat kenaikan harga diesel industri.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, TC. Dr. Baharin Baharom berkata, langkah itu berkuat kuasa mulai 25 Mac 2026 sebagai usaha menstabilkan operasi harian.
“Pengurangan ini terpaksa dilakukan bagi mengimbangi kos operasi yang meningkat mendadak selepas harga diesel industri naik daripada RM3.20 kepada RM7.30 seliter.
“Kenaikan ini melebihi 100 peratus dan memberi tekanan besar kepada operasi feri,” katanya.
Menurutnya, keputusan tersebut bukan bertujuan menyusahkan pengguna sebaliknya bagi memastikan perkhidmatan feri tidak dihentikan sepenuhnya.
Beliau berkata, kadar tambang feri ke Langkawi selama ini antara paling rendah di Malaysia iaitu sekitar 88 sen per batu nautika berbanding laluan lain seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah sekitar RM2 per batu nautika.
“Tambang rendah ini dikekalkan bagi memastikan akses pelancongan kekal mampu milik, namun dalam keadaan kos meningkat, ia menjadi cabaran besar kepada pengusaha.
“Langkah catuan jadual ini adalah keperluan untuk memastikan kelangsungan operasi,” ujarnya.
Tambah beliau, tanpa langkah penstabilan seperti pelarasan tambang atau sokongan dasar, industri feri Langkawi berisiko berdepan penutupan dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, pihaknya akan terus berusaha mengekalkan perkhidmatan kepada penumpang walaupun berdepan risiko kerugian.



