
KUCHING: Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak sebanyak RM600 juta mulai 2025.
Menurut pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Dzul Hadzwan Husaini, pengumuman tersebut merupakan sentuhan falsafah Madani yang telah dizahirkan.
“Umum mengetahui, Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan tanah yang besar serta taburan penduduk yang berselerak,” kata Dr Dzul.
Tambah Dr Dzul, keadaan ini menuntut kepada dana yang besar untuk mengekploitasi sumber yang ada bagi mendapatkan hasil nilai tambah yang berganda.

“Sebagai contoh, keperluan infrastruktur asas seperti air, tenaga, pengangkutan dan teknologi digital perlu dibangunkan dengan lebih banyak,” katanya kepada The Malaysia Press.
Ujar Dr Dzul, pemberian dana ini juga dapat membangunkan infrastruktur yang dapat memberi faedah dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, masalah sekolah daif dan pusat kesihatan awam dapat diatasi dengan infrastruktur yang lengkap,” kata Dr Dzul lagi.
Tambah Dr Dzul, pemberian khas ini secara moralnya menebus keterciciran perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 selama ini.
“Ini dapat memperkasakan ekonomi rakyat berkibatkan fasalafah Madani melalui bantuan dana yang sedia ada,” tambahnya lagi.